Khamis, Julai 09, 2009

Kuliah Muamalah bersiri di Cawangan Rawang


Mulai minggu ini setiap Selasa jam 9 malam, Prof Madya Dr Ishak Suliaman selaku anggota Panel Syariah HPA dan Timbalan Pengarah (ijazah tinggi) Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya telah pun memulakan kuliah pengajian Muamalah Islam bersiri di Dewan Seminar HPA Cawangan Rawang. Kuliah Muamalah siri 1 bertajuk: BAI' MABRUR & KONSEP JU'ALAH DALAM MLMS HPA. Kuliah selama 30 minit ini diadakan sebelum Kelas Mingguan rasmi. Ini menggalakkan peserta datang awal.

Dr Ishak menjanjikan peserta yang yang mengikuti kuliah ini sekurang-kurangnya 5 kali akan diberi Sijil. Alhamdulillah pada minggu pertama semalam seramai 30 peserta yang dicatatkan dapat mengikuti kuliah yang disampaikan mulai jam 9.15 malam sehingga 9.45 malam.

Kita biasa mendengar orang memperkatakan tentang Haji Mabrur tetapi jarang pula kita mendengar orang memperkatakan tentang Bai' Mabrur iaitu Perniagaan Terbaik. Inilah yang ditekankan oleh Prof Madya Dr Ishak dalam kuliah pertamanya semalam.

Bai' Mabrur bererti urusniaga yang terhindar daripada penipuan, manipulasi & perkara yang bertentangan dengan sistem muamalah Islam iaitu:

1. Penjual & pembeli (dikenali & mencukupi syarat berakal termasuk mekanisme jual beli itu dikenalpasti).

2. Perniagaan mempunyai barang @ produk @ barang yang dijual beli.

3. Mempunyai akad/terma yang diredhai diantara penjual & pembeli.

4. Terhindar daripada urusniaga yang bersifat gharar (ketidakpastian & penipuan) dalam muamalah.

Manakala Ju'alah atau ja'ilah ialah apa-apa yang diberikan kepada seseorang atas sesuatu perbuatan, ataupun apa yang diberikan kepada seseorang atas sesuatu yang dilakukannya. Ulama mendefinasikannya sebagai upah bagi sesuatu manfaat yang dijangka terhasil, maka ia akan mendapat sekian dan sekian. Kebiasaannya para fuqaha' memberikan contoh mengembalikan binatang tunggangan yang sesat (hilang) ataupun hamba yang bersembunyi (lari).

Ju'alah atau pemberian bersyarat ini diharuskan
menurut ulama' Maliki, Syafi'i dan Hambali.


Nas Al Quran:

Dalam surah Yusuf ayat 72. Terjemahannya: " Mereka berkata. "Kami kehilangan cupak raja, dan bagi sesiapa yang memulangkannya dihadiahkan muatan seekor unta dan aku yang menjanjikannya (menjamin)."

Nas Hadis:

Sekumpulan sahabat Rasulullah s.a.w. pergi kepada sebuah perkampungan orang Arab yan enggan melayan mereka sebagai tetamu. Dalam keadaan demikian tiba-tiba ketua mereka dipagut ular berbisa, lalu mereka berkata. Adakah dikalangan kamu yang boleh menjampi? Sahabat menjawab, kamu tidak melayani kami sebagai tetamu, maka kami tidak akan melakukannya kecuali kamu berikan ganjarannya. Lantas mereka menjanjikan sekumpulan kambing. Kemudian seseorang membacakan Umm al Quran dan menyapukannya pada luka lalu lelaki itu sembuh. Mereka pun memberikan kambing-kambing yang dijanjikan. Para sahabat berkata, "Kami tidak akan mengambilnya sehingga kami tanyakan Rasulullah s.a.w. tentang hal itu. Baginda ketawa sambil berkata. " Apa salahnya, ia adalah jampi! Ambillah ganjarannya dan berikan aku sedikit perkongsiannya."

Firman Allah Ta'ala:

Terjemahan:
... dan bantu-membantulah kamu dalam perkara yang baik dan taqwa dan janganlah kamu saling bantu-membantu atas kejahatan dan perseteruan...

(Surah al-Ma'idah ayat 2)
/

Tiada ulasan: