Khamis, Ogos 13, 2009

Pergi tak kembali - ALFATIHAH untuk Allahyarham Us Asri Ibrahim

/
KUALA LUMPUR, 13 Ogos - Vokalis utama kumpulan Rabbani, Mohamad Asri Ibrahim (Ustaz Asri) meninggal dunia sebaik sahaja jatuh dalam sidang media program Syahadah di Angkasapuri, Radio Televisyen Malaysia (RTM)

Menurut rakannya, Farihin Abdul Fatah, Allahyarham meninggal dunia selepas rebah dan pengsan ketika memberikan ucapan dalam sidang media program Syahadah di Angkasapuri, Radio Televisyen Malaysia (RTM), kira-kira jam 10.30 pagi tadi. Selain seorang penyanyi nasyid, Ustaz Asri juga seorang pendakwah, bilal dan kerap menjadi imam dalam pelbagai program bercorak ibadah kerana pengetahuan agama dan kelunakan suaranya itu. Beliau yang dilahirkan pada 3 Ogos 1969 di Klang, Selangor juga baru menyambut ulang tahun kelahiran ke-40, minggu lalu.

Beliau menyertai kumpulan nasyid terkenal itu sejak ia ditubuhkan secara rasmi pada 1 Mac 1997 dengan dianggotai oleh sembilan orang termasuknya.

Kehilangan Asri kini bermakna hilanglah tunjang Rabbani memandangkan arwah banyak menyumbangkan kemajuan prestasi dan memberikan kejayaan kepada Rabbani.

Atas kejayaan itu, maka tidak hairanlah jika Rabbani dijulang sebagai Penyanyi/Artis Nasyid Popular di Anugerah Bintang Popular (ABP) selama lapan tahun berturut-turut.


Kemunculan Rabbani yang turut dianggotai oleh Mohd. Asri Baidul @ Ubaidullah, Azadan Abdul Aziz, Muhammad Luqman Abd Aziz, Muhammad Rithauddeen Yaakob, Mohamad Afandi Shahbudin, Ahmad Shafie, Nazrul Azhar Tamrin dan Zulkiflee Azman ini adalah dengan konsep yang tersendiri.

Dalam tempoh lebih 12 tahun berada dalam industri ini, Rabbani telah menghasilkan 19 buah album seperti ‘ARAH Dari Mana Ke Mana’ (1997), ‘Pergi Tak Kembali’ (1999), ‘Intifada’ (2000), ‘Yalla Beena’ (2004) dan yang terbaru, ‘Nostalgia Nada Murni’.



Saya sangat mengenali beliau dan pernah menajanya menjadi ahli HPA ketika kami sama-sama tinggal di Bandar Sri Manjalara Kepong pada awal tahun 1999. Beliau adalah seorang yang warak, tidak pernah dilihat meninggalkan solat malam walaupun sibuk dan letih dengan persembahan.

Al-Fatihah buat, Ustaz Asri Bin Ibrahim - Rabbani semoga rohnya dirahmati Allah.
Kepada isteri dan anak-anaknya, bersabarlah dengan ujian ini dan ingatlah Allah sayangkannya.
/

2 ulasan:

Rangkaian Dcentella berkata...

Al-Fatihah untuk Us Asri Ibrahim. semoga rohnya di cucuri rahmat.

IzuanIzani berkata...

Al fatihah.. semoga rohnya ditempatkan Makam Hamba-Nya