Oleh: Us. Ahmad Baei Jaafar
Subhanallah, Subhanallah, Subhanallah, Maha Suci Allah daripada sikap manusia yang berkepentingan, Maha Suci Allah daripada kejahilan pengikut yang taasub, Maha Suci Allah daripada ummat yang syirik secara sedar. Ya Allah aku berlindung di sisi-Mu daripada ummat yang sesat atas kebodohan mereka sendiri.
Belumpun seminggu ustaz Ashaari Mohammad meninggal dunia, pelbagai cerita dalaman yang boleh kita dengar. Ada yang dapat dihidu oleh bekas pengikutnya dan banyak lagi yang terus disembunyikan demi muslihat tertentu. Walau apapun semuanya adalah terkandung dalam agenda yang tersembunyi golongan tertentu.
Bagi bekas pengikut ustaz Ashaari, pengikut al-Arqam (bukan rufaqa dan global ikhwan), apa saja dakwaan yang didengari dari sana tidaklah pelik. Malah mereka sudah dapat menyangkakan apa yang akan terjadi selepas Ashaari meninggal dunia. Oleh sebab itu mereka tidak terkejut dengan dakwaan Khatijah Aam yang mengesahkan bahawa Ustaz Ashaari tidak mati, tetapi ghaib seperti ghaibnya Syeikh Suhaimi dan dia akan kembali sedikit masa lagi sementara anak-anak buah 'ikhwan' melakukan mujahadatunafsi.
Hakikatnya semua dakwaan itu melambangkan betapa mereka terlalu sayang dan cinta kepada pemimpin mereka sekali gus meletakkannya sebagai penyelamat ummah. Sebenarnya peristiwa seperti ini pernah berlaku dalam sejarah silam. Bukankah apabila Rasulullah disahkan wafat, orang pertama yang menolak berita kewafatan itu ialah Umar al-Khattab. Dia tidak boleh terima Rasulullah boleh mati dan tidak sanggup melihat Rasulullah dikebumikan seperti orang lain dikebumikan.
Mujurlah ketika itu datang Abu Bakar as-Siddiq, dia dengan tegas berkata, "Barang siapa menyembah Muhammad, maka Muhammad sekarang telah wafat, dan barang siapa menyembah Allah, maka sesungguhnya Allah kekal, hidup, dan tidak akan mati."
Dengan penegasan itu Umar dan orang yang seumpama dengannya mula tersedar daripada lamunan taasub, lalu menerima hakikat kewafatan Rasulullah. Tidak ada yang murtad dengan peristiwa itu kerana kepantasan dan ketegasan Abu Bakar dalam tindakan. Tetapi peristiwa seperti ini kemudiannya turut berlaku dalam kalangan pengikut Syiah iaitu apabila seorang pemimpin mereka dikatakan ghaib dan akan muncul sebagai iman Mahdi kelak. Oleh sebab tidak ada watak Abu Bakar ketika itu, maka pengikut syiah terus tersesat dengan keyakinan itu.
Begitu juga yang pernah berlaku kepada Syeikh Suhaimi, mengikutnya mendakwanya dia juga ghaib bukan mati. Mujur anaknya, Taha Suhaimi juga seorang alim, dia tidak taasub dengan berita itu. Tetapi apa yang berlaku kepada ustaz Ashaari, kematiannya dinafikan oleh isterinya (orang lain saya tidak dengar pula ceritanya), kononnya ghaib dan akan kembali semula. Sayang waktu ini tidak ada watak Abu Bakar lagi. Maka apa yang didakwa oleh isteri Ashaari itu diterima sepenuhnya oleh pengikutnya.
Walaupun kemudiannya dakwaan itu dinafikan oleh menantunya, Loqman al-Hakim tetapi penafian itu masih kabur dan berbau taqiah. Loqman belum menyamai watak Abu Bakar malah lebih jauh untuk dibandingkan dengannya.
Saya dalam tulisan ini tidak berniat untuk memanjangkan kisah khurafat ini tetapi sekadar hendak mengingatkan kawan-kawan juga adik-adik saya yang masih ada iman di hati mereka. Ketahuilah, anda selama ini ditipu oleh orang yang berkepentingan. Yang pasti dia bukan ustaz Ashaari, tetapi saya percaya anda tahu siapa dia.
Bagi mereka yang masih tertutup pintu hati mungkin akan marah kepada saya, itu hak mereka, namun saya tetap doakan agar hidayah Allah sampai juga kepada mereka akhirnya. Namun saya yakin, mereka yang masih ada iman kepada Allah akan mampu mencelikkan hati masing-masing.
Kawan-kawan, sedarkah anda, kenapa anda masih kekal bersama Rufaqa dan kini Global Ikhwan? Saya yakin, anda di sini kerana telah digula-gulakan bahawa daulah akan berlaku di tangan Abuya. Anda termakan dengan janji-janji keramat yang anda yakin datang daripada Abuya. Walaupun Abuya sakit tidak boleh bercakap, anda yakin Abuya masih boleh memberi mesej kepada anda.
Selain itu, Ashaari yang tidak boleh bercakap kerana masalah geraham dan mulut itu didakwa direhatkan Allah daripada berkata-kata. Alasannya, sebelum ini dia sudah lama dan banyak bercakap memberi nasihat, maka sampai masanya dia berehat.
Anda semua percaya dakwaan itu kerana anda percaya kenyataan itu datang daripada Abuya sendiri walaupun anda tahu bahawa dia tidak boleh bercakap. Memang dia tidak boleh bercakap dengan baik tetapi didakwa boleh bercakap dengan orang tertentu atau setidak-tidaknya boleh difahami oleh orang tertentu. Malah orang tertentu itu boleh mentafsirkan yang tersirat daripada apa yang diucapkan olehnya. Anda semua percaya sebab anda yakin Abuya ada karamahnya.
Tahukah anda kenapa dakwaan itu boleh lahir daripada orang yang berkepentingan itu? Saya percaya malah anda juga percaya kalau ustaz Ashaari telah disahkan tidak boleh bercakap dan akan mati dan daulah tidak akan berlaku di tangannya, tidak siapa yang akan sanggup menghabiskan wang setiap bulan menyumbang kepada Ashaari dan keluarganya. Tidak akan ada orang yang mahu bersimpati menginfakkan hartanya untuk perjuangan Ashaari yang belum selesai itu. Tidak akan ada pengikutnya yang sanggup bekerja siang malam dengan syarikat-syarikatnya dengan hanya gaji yang sedikit.
Menyedari hakikat itu, maka pihak yang berkepentingan itu akan mencipta cerita-cerita baru yang kononnya datang daripada Abuya. Sebagai membuktikan dakwaannya, Abuya dibawa ke sana sini untuk berjumpa dengan pengikutnya seluruh Malaysia, malah ke Thailand. Bayangkan dalam keadaan sakit itu dia diusung ke sana ke sini semata-mata untuk memberitahu pengikut bahawa Ashaari masih relevan. Padahal hakikatnya adalah untuk mendapatkan simpati.
Saya percaya kalau ustaz Ashaari boleh bercakap dan berkuasa menepis sesuatu dakwaan, dia akan nafikan apa yang diberitahu oleh orang yang berkepentingan itu. Tetapi dia tidak mampu kerana ada kuasa lain yang mengatasinya. Bayangkan kalau semasa dia boleh bercakap pun ada pihak yang memonitor tutur katanya, apatah lagi sewaktu uzurnya.
Sebenarnya Allah sayangkan ustaz Ashaari, lalu pada 13 Mei, 2010 jam 2.10 petang rohnya diambil di sebuah hospital swasta di Ipoh. Allah tidak mahu dia terus diperalatkan oleh orang yang berkepentingan. Itupun ketika itu, semua pengikut setianya tidak diberitahu berita sebenar. Masing-masing apabila ditanya berkata, berita itu belum sahih sedangkan doktor telah membuat pengesahan.
Tahukah anda kenapa berita itu tidak diberitahu dengan segera? Mereka tahu, kalau pengikut tahu tentu mereka akan kecewa kerana daulah yang diharapkan tidak berlaku. Oleh sebab itu berita itu disembunyikan sementara mencari idea bagaimana untuk meyakinkan pengikut bahawa daulah akan tetap berlaku di tangan Abuya. Di sinilah timbulkan idea bahawa Abuya ghaib dan akan kembali semula setelah semua pengikutnya bertaubat.
Dengan dakwaan ini, pengikut akan kembali yakin dan akan terus memberi sumbangan kepada keluarga Ashaari. Pada masa yang sama pengikut akan bertaubat dan bekerja kuat untuk daulah dan terus menyumbang wang bulanan kepada keluarganya. Hakikatnya pengikut yang memberi gaji kepada mereka.
Inilah agenda sebenar golongan yang berkepentingan ini. Inilah agenda yang tersebunyi yang tidak pernah didedahkan kepada umum. Tetapi demi menyelamatkan iman pengikutnya yang ikhlas berjuang bersama Ashaari, saya doakan mereka agar kembali kepada kebenaran. Semoga ada pengikut Abuya sudi membaca kenyataan ini dengan hati yang terbuka.
Mengakhiri tulisan suka saya nyatakan bahawa orang yang berkepentingan ini memang berniat jahat terhadap Arwah, maka sebab itulah tidak digalakkan sebarang majlis tahlil dan Yasin atau menghadiahkan al-Fatihah kepada Arwah. Sedangkan orang yang mati, lazimnya dibacakan doa dan tahlil, apatah lagi gurunya, tentu wajar dibacakan tahlil dan Yasin oleh anak muridnya.
Saya doakan Ustaz Ashaari selamat di alam barzah dan damai di sana tanpa gangguan orang yang berkepentingan lagi. Pada masa yang sama, pengikut setia yang masih ada iman itu, diseru sekali lagi agar kembali kepada ajaran Islam yang sebenar, semoga kita tidak lagi ditipu sepanjang hidup.
free hit counters